Thursday, 5 April 2012

Madu Lebah Yang Dicampurkan Dengan Air

Tidak terdapat hadith-hadith marfu’ (hadith yang perawinya bersambung atau sampai kepada Rasulullah SAW) yang menunjukkan bahawa Baginda SAW mengambil madu lebah dengan  cara mencampurkannya dengan air yang diminum pada waktu pagi sebelum sarapan.

Walau bagaimana pun, terdapat kata-kata Ibnul Qayyim Al Jauziyyah yang menyusun kitab sirah terkenal Zadul Maa’d  Fi Hadyi Khairil I’bad (زاد المعاد في هدي خير العباد) yang menyebut Nabi SAW melakukan perkara tersebut; tanpa mengemukakan dalil yang jelas daripada hadith. Beliau sebagai seorang pengkaji sunnah telah menyebutnya sebanyak dua kali di dalam kitabnya:

كان النبي صلى الله عليه و سلم يشربه بالماء على الريق

“Nabi SAW meminumnya (madu) dengan air pada waktu pagi sebelum sarapan”.

وأما هديه في الشراب فمن أكمل هدي يحفظ به الصحة فإنه كان يشرب العسل الممزوج بالماء البارد وفي هذا من حفظ الصحة ما لا يهتدي إلى معرفته إلا أفاضل الأطباء فإن شربه ولعقه على الريق يذيب البلغم ويغسل خمل المعدة ويجلو لزوجتها ويدفع عنها الفضلات ويسخنها باعتدال ويفتح سددها ويفعل مثل ذلك بالكبد والكلى والمثانة وهو أنفع للمعدة من كل حلو دخلها
  
“Manakala caraNya (Rasulullah SAW) dalam meminum madu, maka ia merupakan cara yang paling sempurna untuk menjaga kesihatan. Baginda meminum madu yang bercampur dengan air dingin (air yang tidak sejuk dan tidak panas) dan cara ini, dalam penjagaan kesihatan, tidak diketahui melainkan doktor-doktor yang handal, maka jika diminum dan memakannya pada waktu pagi sebelum sarapan ia akan mencairkan kahak, membasuh lapisan perut dan membuang sembelitnya, mengeluarkan bahan buangan, memanaskan perut secara sederhana dan membuka bahagiannya (perut) yang tersumbat dan ia (madu) melakukan perkara yang sama (membuka bahagian yang tersumbat) pada hati, buah pinggang dan paru-paru dan ia merupakan benda manis yang paling bermanfaat yang masuk ke dalam perut”.


Kitab Zadul Maa'd Fi Hadyi Khairil I'bad; Dua cetakan yang berbeza


Laman sesawang Islamweb.net ketika mengulas perkara ini menyatakan bahawa jika difahami daripada hadith-hadith sahih yang menyebut tentang madu lebah, terdapat kemungkinan Nabi SAW mengambilnya dengan pelbagai cara termasuk mencampurkannya dengan air.

Di dalam perubatan moden, suatu perkara yang diketahui umum ialah madu yang dicampurkan dengan air akan memudahkannya menyerap masuk ke dalam darah dan dimanfaatkan oleh otak manusia dalam masa yang singkat. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...